Lip Service… it’s just too cheap

Tuan WordPress,

Kalau diperhatikan diri aku sendiri ini, banyak sangat kelemahan dan celanya baik rupa dan amalan. Justeru tulisan aku kali ini aku tujukan kepada diri aku sendiri mudah-mudahan ada perubahan dan peringatan. (Sengaja aku tulis Bahasa Melayu kerana kali ini memang tahap kesabaran di bulan mulia ini betul-betul diuji).

Bangsa Melayu ku ini cukup mudah melafazkan kata-kata yang selalunya berbentuk lip service. Dengan kata lain, bila melihat musibah menimpa orang lain, asalkan tak perlu buat apa-apa atau tak perlu bersusah payah , memadailah sesetengah orang ini untuk berkata “Oh kesiannya…, tak patutnya, isk isk isk ada ke macam tu, tak baik buat macam tu…” dan sebagainya.

Lebih malang kalau kebanyakkan orang-orang di tempat kerja ini yang gemar menggunakan Islam sebagai alasan untuk tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diterima. Contohnya, kalau boleh majlis-majlis indah, diberkati dan dituntut seperti ceramah agama, tadarus al-Quran, khatam al-Quran dan sebagainya diadakan di waktu puncak tugas iaitu 8.30 am – 12.30 tengahari. Keluar sahaja jemputan ke majlis tersebut, yang tidak berjemput pun bergolek-golek dan berlari-lari ke dewan (awal pula!) kununnya untuk mendengar ceramah / mengikuti majlis agama.

Bayangkanlah, kalau majlis tamat jam 12.30, apakah waktu yang ada sebelum waktu rehat digunakan untuk bergegas-gegas juga ke pejabat untuk menyiapkan apa yang patut? Perlukah jemputan ini diutamakan daripada tugasan yang bukan sahaja diamanahkan untuk disempurnakan tetapi juga dibayar oleh majikan? Itu yang saya katakan bahawa Islam itu digunakan sebagai alasan untuk tidak ‘buat kerja’. Lebih malang, majlis-majlis ilmu ini tiada manfaat ibarat mencurah air di daun keladi kepada kebanyakan kelompok bangsaku ini. Sebabnya menghadirinya pun niatnya salah ditambah pula pengajaran yang diterima masuk telinga kanan hilang dan terus ghaib entah ke mana.

Ada juga cerita dan kisah benar yang saya sendiri peroleh (tahap sohih dan roji’ sumbernya) di mana si penganjur di sebuah syarikat bersama-sama (atau bersekongkol?) peserta-peserta acara keagamaan (bersempena Ramadhan) sengaja mencadangkan kepada bos agar ia dibuat setiap hari jam 8.30 pagi – 9.30 pagi. Apakah tidak boleh dibuat dari jam 1.00 – 2.00 petang yang mana orang Islam tidak akan menggunakan masa yang ada untuk makan? Atau sekiranya ikhlas, kenapa tidak mulai jam 5.30 – 6.30 petang. Ataupun jam 7.00 – 8.00 pagi sebelum waktu puncak kerja? Nah kalau itu bukan dikatakan mengelakkan tanggungjawab, apa lagi harus ia dipanggil?

Ini belum lagi bab waktu rehat tengahari yang digunakan (bukan di bulan Ramadhan) untuk makan dan minum. Masanya sudah lah singkat sekadar 60 minit sahaja (congak lah kalau hendak turun dari lif ke tempat letak kereta 5 minit, perjalanan ke tempat makan katakan 15 minit, parking kereta 5 minit, beratur untuk makan katakan 5 minit, makan 10 minit, balik ke pejabat 15 minit, naik lift ke tempat kerja 5 minit = 60 minit) perlulah digunakan sebaiknya. Kalau boleh makan sahaja di tempat kerja; cepat dan selesa sedikit. Kemudian selesai makan sahaja, baca suratkhabar pula (bukan pagi tadi sudah membeleknya secara online ke?). Hisap rokok dan borak kosong atau berpusu-pusu ke tempat ‘jualan’ belum lagi diambil kira.

Bila jam 2.30 baru masuk ke pejabat itupun sekejap sahaja kerana hendak menunaikan solat. Solat pula hampir 30 minit bukan kerana khusyuk tetapi sambung berborak lagi. Bos hendak marah tetapi apakan daya kerana anak buahnya sedang bersolat. Silap kata buruk padahnya sehingga gelincir aqidah tanpa disedari na’uzubillahu min zaalik. Apakah bangsaku bersangatan kayanya, mulianya, bahagianya paling tidak pun di dunia ini sehinggakan perkara mengenai kerja ini dipandang enteng lagi mudah? Apa kita sebagai bangsa sudah kuasai ekuiti lebih 70% ekonomi Malaysia? Apa tiada lagi segelintir bangsaku yang terpaksa berhempas pulas sebagai kuli?

Belanjanya tidak ingat dunia (bukan zuhud ini tapi gila). Bila kering dan pokai poketnya didesaknya kerajaan itu dan ini. Katanya belanja Hari Raya dan sekolah untuk anak-anak tinggi (disalahkan pula anak ke sekolah!). Bila tidak diberi, dibangkangnya dan ditohmah kerajaan. Bila diberi, Sogo dan Bukit Bintang diserbunya. Apakah bangsaku tidak pernah kenal erti susah? Atau istilah menabung terlalu canggung dan aneh baginya? Ironinya, Allah mengajar umat Islam untuk sabar dan beramal supaya senang di akhirat. Bukankah itu juga pelaburan? Apa kau ada nampak balasannya di dunia? Tiada bukan, tapi kamu mempercayainya (rasanyalah!). Maka boleh tak kamu gunakan konsep ini dalam kehidupan di dunia ini khasnya berkenaan pengurusan wang?

Bangsaku juga suka melewat-lewatkan sesuatu perkara itu. Begitu kita tampak senang lagi lenang walaupun hakikatnya keperitan hidup ini sudah berkarat dan mencengkam kehidupan kita. Itu lah kita selalu nampak bangsaku ini kelam kabut dan berlari sana sini. Bagi mereka yang belum kenal kami, mungkin mereka akan kata, “wah sungguh produktif bangsa ini dan mereka sangat pentingkan masa”. Walhal keadaan tersebut terjadi kerana terpaksa mengejar deadline yang sepatutnya lama telah siap. Tengok sahaja di jalanan, bolehkah bangsaku bersopan santun dan membawa kenderaan dengan cermat. Ini tidak, dipandunya laju seolah-olah Izrail mengejar di belakang. Sampai di destinasi, sempat pula menghisap rokok dan membetulkan cermin mata hitam di kepalanya. Apa yang dikejarnya? Oh tempat parking rupanya!

Pendek kata di bawah ini saya cuba rumuskan bicara kepada diri sendiri ini supaya saya sendiri bisa mengerti takut-takut otakku ini sudah bebal dan tebal :-

1. Air mata walaupun sudah kering tapi kesedihan akan terus terasa. Lain dengan ketawa, sekuat manapun dibahakkan, kegembiraan akan lenyap sekelip mata. Marilah kita sedar diri sendiri sebelum terlambat.
2. Agama itu tiada harganya. Janganlah kau menunggangnya laksana keldai. Digunakan ketika ada beban berat, ditambat di rumah bila ke tempat-tempat mewah. (Bila ada kerja banyak, kau selindung di baliknya. Bila kau bersuka ria, kau tinggalkannya jauh-jauh).
3. Dalam dunia ini tiada gunanya kita dengan suara kuat dan bersungguh-sungguh bercerita mengenai perkara-perkara yang hairan dan ajaib (contohnya cerita mengenai ubat dari seorang budak yang sangat mujarab). Sedangkan langit tidak bertongkat dan tidak pula runtuh, apa lagi yang hairan? Bukankah kau dan aku sudah berbicara dengan Tuhan dahulu? Apa lagi yang ajaib? Yang pentingnya ialah pengajaran di sebalik peristiwa itu dan bukannya kisah tersebut. Rugi sekali kau gilakan pinggan dan mangkuk sedangkan lauk di dalamnya yang lebih bermakna kau tuangnya ke tanah. Inilah keajaiban dalam erti kata sebenar.
4.  Segalanya akan disoal tentang kita, baik kuasa, wang dan pangkat yang ada (atau tiada). Semua itu beban, semua itu perlu dipertanggungjawabkan. Kalau kita belum faham erti …beratnya bahu yang memikul…, janganlah dicari beban untuk digalas.
5. Perlukah kita ini hidup seperti orang lain sedangkan dijadikan kita semua ini berlainan? Kubur pun masing-masing punya bahagian. Cukuplah apa yang ada, memadailah yang diterima. Yang penting usaha. Hentikanlah slogan tidak berakal “biar papa asal bergaya“. Tiada bergaya pun sebenarnya orang yang papa itu. Apa yang bergayanya sekiranya perut berkeroncong sentiasa dan tekak kering selalu. Sebab itu lah yang miskin, fakir dan yatim perlu dibantu kerana itulah yang mereka rasa.

Mungkin setelah membaca ini, orang kata saya ini kaya raya. Aku dahulu juga susah. Ramai yang suka ‘pijak’ aku semasa bekerja di suatu tempat dahulu. Aku ‘bangun’, aku kesat air mata, sapu ‘debu’ di badan dan aku terus mencari rezeki walaupun gaji RM640 sebulan tanpa EPF, SOCSO, cuti bulanan, bonus tahunan dan faedah perubatan. Baju dan seluar ke pejabat memang lusuh (usia 4 tahun ke atas – baju semasa di Universiti) dan pernah diperli beberapa manusia yang terlalu prihatin (dan suka kepada lip service). Allah Maha Kaya, Dia juga merezekikan aku menyimpan RM10,000 dalam masa 3 tahun, setelah berhempas pulas dengan gaji yang tidak seberapa (gaji aku bertambah sedikit selepas 1 tahun 1/2). Maka lahirlah motorsikal WNK 6547 hasil titik peluh aku sendiri sehingga kini masih ada dan sangat aku sayang.

Kepada bangsaku yang sangat dekat di hati, marilah sama-sama lihat diri sendiri dan baiki dahulu yang mudah-mudah dan senang-senang. Kata orang putih, “Think Big, Act Local“. Bila yang senang diubah berjaya, baru ada motivasi nak ubah yang sukar dan tegar. Saya sangat takut kalau bangsa kita ni yang suka memberikan lip service dan gemar perkara-perkara yang aesthetics dan bukan concrete, terus hanyut sehingga terjual secara total.

Kalau itulah yang dicita dan dipinta bangsaku sekalipun, besarlah harapan pada waktu dan ketika cita-cita tersebut ‘tercapai’, saya telah tiada di dunia ini. Sekurang-kurang lepas beban untuk membantu;  paling tidak pun, hati saya tidak remuk melihat bangsaku mengemis dan merintih di bumi sendiri.

Salam Ramadhan 1430H.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s