Aduhai…

Tuan WordPress,

Setelah dihempap dengan pelbagai tugasan segera yang rencam (dan kadang-kadang kejam), akhirnya hidung aku ini mampu menghirup udara dengan puas dan lega. Bukan sebab kerja-kerja ni siap tetapi kerana tren aliran kerja yang bertali arus kini kembali reda buat seketika sehinggalah tiba semula bah yang seterusnya. Dalam menyiapkan yang tertunggak, benak fikiran menjadi semak dan akal aku pula semakin tumpul dek kurangnya ‘kudapan’ minda berbentuk bacaan.

Gambar Hiasan : Ihsan dari http://tiempolegend.fotopages.com

Dalam keadaan yang serba lesu dan tidak bersemangat menghadap timbunan kerja ini, aku sengaja mainkan Windows Media Player aku (realplayer aku bermasalah sejak upgrade baru-baru ni!) semoga ada inspirasi yang menghidupkan semula api perjuangan hidup ini. Tanpa disedari, WMP memainkan pula sebuah lagu dari M. Nasir berjudul Anak-Anak Kita. Lagu ini sebenarnya telah lama ‘tidur’ dalam cakera keras laptop ini dan diselimuti tebal oleh timbunan lagu-lagu lain. Boleh dikatakan lagu ini sudah lama tidak menyinggah telinga aku ini.

Hati dan sanubari aku semacam berhenti memikirkan yang sesak-sesak dan terus sahaja menumpukan pada seni kata yang sungguh puitis dan tajam. Tidak puas hati, aku ‘search’ pula Google untuk tatap secara penuh lirik lagu ni. Sekali tekan enter sahaja beratus-ratus website keluar. Mudah sangat zaman ni nak dapatkan macam-macam benda lebih-lebih lagi yang tak elok. Perkara yang tidak elok ini juga menjadi cita-cita orang Melayu di zaman ini. Tak perlulah saya mengulang semula klise yang mungkin telah jelak di telinga bangsa aku. Cuma yang pasti kesusahan itu jarang sekali membiarkan sesiapa yang dihinggapnya tanpa meninggalkan pengajaran yang berguna. Lain benar pula dengan kesenangan, walaupun ia menjadikan manusia murah dengan kebahagiaan tapi ia sangat kedekut dengan ‘wisdom’.

Walau apa pun, idea aku menulis berkisar tentang lagu M. Nasir ini yang pada suatu ketika dahulu dilabelkan sebagai pendatang Singapura yang tidak kenang budi lantaran lancangnya mulut beliau mempersoalkan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Apa-apa pun, semua manusia bisa membuat salah namun yang membezakan di antara kita semua ialah tahap kesedaran untuk memperbaiki kesilapan serta kemurahan hati untuk memaafkan orang. Kalau diteliti lirik lagu ini, ada kaitan juga dengan cerita manusia membuang anak baru-baru ini. Atau mungkin juga relevan pada perangai ibu bapa sekarang yang tidak berapa endahkan anak-anak. Lihatlah anak-anak sekarang terjerit-jerit dan berlari sana sini di jalan raya sambil dilihat selamba oleh ibu bapa.  Suruhlah mereka ke taman permainan paling kurang pun.

Gambar Hiasan : Ihsan dari  http://syazhar.fotopages.com/?entry=1443753

Aku sangatlah hairan apabila aku ada bercakap-cakap sekadar ‘lalu’ mengenai lagu ini pada beberapa orang muda yang aku jumpa dan mendapat reaksi yang mengagumkan. Mungkin zaman rock kapak tidak kamu lalui ataupun kamu sendiri terkesima mendengar nama M. Nasir itu disebut lantaran itulah kali pertama kamu mendengar namanya. Pun begitu tidaklah ia menghalalkan perbuatan kamu mempersoalkan “menarik sangat ke lagu ni?”. Kalau kamu faham seeluruh isi pengajarannya tidak apalah; maklum sahaja aku ni bukannya pandai sangat dan hanya budak kampung. Ibaratkanlah aku sebagai pelanduk masuk kampung. Tapi aku pasti kamu pun belum tentu faham apa yang aku maksudkan bila ‘berbicara’ mengenai Anak-Anak Kita. Lagu ini sepatutnya menyentap jiwa dan pemikiran dengan serta merta bagi mereka yang sedar bak kata Dilbert “blinded by the flash of the obvious!”. Tapi sayang…

Kalau dilihat lirik lagu M. Nasir ini, orang-orang yang aku jumpa ini tentulah sangat pandai menilai dan mentafsir maksudnya. Mudah bukan? Ajarlah dan didiklah anak-anak dengan betul, kata mereka. Memang betul tapi persoalaan bagi aku ini yang serba kekurangan ialah bagaimana untuk ‘mengajar dan mendidik’ khasnya budak-budak yang masih jauh ‘aqilnya apatah lagi balighnya? Bolehkah ia mengerti kenapa perjuangan bangsa perlu diteruskan walaupun masih di bumi sendiri? Bolehkah ia memahami kenapa seorang pemilik boleh hilang haknya? Kenapa kita perlu berdiri secara sendiri tanpa bertongkat lagi? Perlu tunggu dia berakal baru mulakan pendidikan kemanusiaan?

Gambar Hiasan : Ihsan dari http://www.drtuah.com/lagenda.jpg

Itulah yang bahayanya bagi mereka ini yang kononnya ‘tahu segalanya’. Tadika, sekolah dan universiti luar negara memang sesuai bagi golongan ini yang ternyata pompous, (utterly) obnoxious and presumptuous (POP); golongan yang masih hijau dan baru sahaja lahir (semula?) sebagai graduan luar negara yang bak kata M. Nasir, “tak kenal budaya canggung bangsa sendiri”. Mereka ini 1st Generation POP. Kerana takut menjadi kampung, sebahagian ibu bapa muda sekarang mula menyesuaikan diri dan mengisytiharkan mereka juga high society walaupun hanya graduan tempatan. Maka lahirlah 2nd Generation POP dan dizahirkan melalui pengisytiharan mereka untuk terus menerus berada di shopping complex dan McDonalds. Kini golongan POP ini pula bercambah kepada 3rd Generation secara freak of nature iaitu melalui tindakan ayah dan ibu mereka yang gemar berpeleseran di tempat membeli belah, restoran fast food serta sentiasa memakai pakaian mahal dan eksklusif. Mereka juga always in touch with the self-proclaimed high society! Semua ini tanpa disedari diteliti sekecil dan dipasak dalam pemikirannya sebagai way of life dan pegangan hidup yang nyata.

Janganlah membiarkan pembentukan pemikiran anak-anak di tangan kerajaan sahaja. Ibarat mencurah air di keladi kalau begitu. Anak-anak pada umur yang muda ibarat sekeping sponge yang menyerap pantas apa yang disaksikannya lebih-lebih lagi kalau diperlakukan oleh role model mereka (ibu bapalah siapa lagi). Inilah di antara ketirisan dalam sistem pendidikan kita tanpa diakui ramai. Golongan ini juga di antara pengkhianat bangsa Melayu kalau kamu mahu mengerti. Di rumah dan bukan jauh di jalanan atau pentas politik. Jangan salahkan orang lain sekiranya kita sendiri yang memulakannya di rumah. Kalau ini pun tidak ramai dapat lihat dari lirik lagu ini, aku sesungguhnya angkat tangan menyerah diri. Ternyata aku ini penuh cacat cela bahkan ketinggalan zaman. Bangsa Melayu rupanya dah tiada. Yang tinggal cuma mereka yang berbahasa Melayu tapi tiada jati diri (dan maruah) sebagai bangsa. Ye, inilah yang menarik sangat mengenai lagu ini untuk pengetahuan kamu semua. Bacalah liriknya kalau mahu… atau boleh juga kamu kembali semula ke uptown itu.

Gambar Hiasan : Ihsan dari http://www.flickr.com/photos/10288991@N02/3969880887

Anak Anak Kita

Artist: M Nasir

Anak-anak kitakah yang berlari telanjang
Di bawah mentari sumbing
Sambil bernyanyi lagu
Ketakutan hari-hari ini

Anak-anak kitakah yang memikul beban
Kesilapan kita
Hingga dia tak kenal
Budaya canggung bangsa sendiri

Selamatkan anak kita
Dari padang jerangkap samar
Selamatkan anak kita
Orde baru politikus usang

Anak-anak kitakah yang bermain
Di hutan belukar
Dengan senapang kayu ubi
Cambah tak kenal bahaya

Anak-anak kitakah yang tak tahu nak pulang
Bila petang
kerana terlalu sibuk main lastik
Dan berpistolan
Pistol-pistolan

Jaga-jaga anak kita
Jangan sampai jadi hamba
Jaga-jaga anak kita
Kita ini orang merdeka

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan sendiri lagi

Panggillah mereka pulang
Ayah nak ajar
Tentang kurang ajar
Jadi mereka takkan dimomok lagi

Fikir
Selamatkah kita di tangan tukang karut itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan dalang wayang itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan ahli koporat itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan doktor jiwa itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan pakar kitab itu
Fikir
Selamatkah kita di tangan tuhan-tuhan itu

2 responses to “Aduhai…

  1. Tiada perkara yang lebih besar ketika ini selain berfikir dan merenung di mana letak-duduknya orang-orang kita…Aku sentiasa mendapat pencerahan daripada dirimu,pemilik EPI ini,terima kasih kuucapkan…Kita juga bersama-sama Raja Si Pemilik Cafe di Seri Kembangan sana,sudah acapkali bercakap dan berbual-bual apakah nasib orang kita pada masa mendatang…

    Aku kadang-kadang bingung,apa yang sebenarnya orang kita mahukan…
    Katanya suka lagu,tapi pernah kau dengar lagu Anak-Anak Kita ini? Atau lagu Bukalah Hatimu?
    Katanya suka membaca…tapi sebenarnya apa yang kamu baca? Setakat novel-novel cinta, gundah gulana tanpa arah itu,atau cerita-ceriti artis takde budi di akhbar itu…baik kau diamkan aja…lebih baik lagi,kau bawalah bacaan picisan itu bersama kau ke kubur!

    Suka sangat pesta-pestaan! Kalau di pejabat,modal kau tiada lain ialah cerita artis,fesyen baju,tempat makan yang sedap, dan kompleks mana yang buat jualan!

    Entahlah EPI…memang benar pemerhatianmu pada isi lirik M.Nasir itu…

    Jaga-jaga anak kita
    Jangan sampai jadi hamba
    Jaga-jaga anak kita
    Kita ini orang merdeka

  2. Bro,

    Terima kasih sbb komen. EPI bukan suka sgt mengutuk bangsa sendiri. ye la kata orang meludah ke langit akan jatuh juga ke batang hidung sendiri. Itulah ibarat mengutuk bangsa sendiri. Tapi kadang2 rasanya perlu gak sesekali luahkan apa di hati.

    Kalau disimpan di hati lama2 takut sebati dan kita x lagi peka dgn permasalahan bangsa. Paling teruk kita sendiri akan terikut2. Sekurang2nya dgn luahan yg mungkin akan menarik protes org tp sebenarnya membantu EPI untuk memperbaiki diri sendiri.

    Itu lah tujuan EPI membangkitkan isu. Pendek kata untuk diri sendiri bukan memandai2 utk mengajar org.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s