Bermusafir: Peluang Terbaik Beribadah

Assalamualaikum,

Minggu ini saya akan akan ucapkan selamat jalan (sekejap) kepada Kajang / Ampang / Gombak kerana menghadiri beberapa mesyuarat dan bengkel sehingga hari Khamis minggu depan. Terus terang saya katakan saya kurang berminat dengan bak kata orang moden, ber-outstation. Selain bakal menemui keadaan yang bukan sahaja di luar rutin hidup, orang yang merantau atau bermusafir (atas sebab-sebab yang harus dalam Agama), mesti akan menempuh perkara-perkara yang sedikit sebanyak akan membongkar siapakah diri kita yang sebenar.

Sumber: PS3mac.com

Dalam Islam, tidak wajar seseorang itu menduga dirinya sendiri dengan kesusahan melainkan atas jalan agama. Makna kesusahan di sini ialah sengaja melibatkan diri dalam perkara-perkara dilarang Islam. Tak perlulah secara suka-suka kita menduga iman kerana sains pun belum habis mengkaji anatomi manusia, siapakah pula kita hendak menguji dan menilik sempadan kewarasan akal dan kesabaran diri?

Biarlah Sang Pencipta yang Maha Mengetahui menentukan jenis dugaan ke atas kita pada masa yang Dia Kehendaki. Biarlah Dia menduga kita pada tahap yang sangat sesuai dan adil sehingga kita mampu menempuhnya dengan jaya kerana Dia juga Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hambaNya!

Tetapi mencari keredhaan Tuhan itu pastinya akan menempuh kesusahan, jadi adakah ini bermakna kita hanya perlu melibatkan diri dalam perkara yang mudah-mudah sahaja? Tentunya tidak, bahkan ternyata SEMUA yang diredhai itulah yang paling sukar ditempuh dan dilalui berbanding yang dikeji. Tiada jalan yang mudah dan singkat untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Hakikatnya, di dunia yang bukan milik umat Islam ini, kita pasti akan merasa susah dan payah dalam mengejar keselamatan dan kebahagian di dunia dan akhirat.

Semalam, saya menghantar mak dan ayah ke KLIA untuk mereka mengerjakan umrah sehingga 2 Mei 2012. Awal-awal lagi tetamu-tetamu Allah ini diduga dengan kelewatan jadual penerbangan MAS dari jam 10.30 pagi ditunda pula ke 12.30 tengahari. Keadaan di KLIA yang penuh sesak dan kurangnya persediaan tour agent sangatlah mengingatkan saya keadaan hiruk pikuk semasa mengerjakan umrah bersama mak pada Jun 2011. Dalam keadaan yang merimaskan ini, sempat ayah mengingatkan kami bahawa haji dan umrah ini secara tradisi dan hakikinya adalah satu peribadatan yang tidak dapat lari dari keadaan yang sukar dan menyukarkan.

Dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, ia memang sukar dan penuh kepayahan. Keadaan ini berterusan hingga ke hari ini walaupun dengan limpahan kemewahan, ledakan teknologi dan pencapaian ilmu yang tinggi, keseluruhan peribadatan haji ataupun umrah masih lagi diselubungi dengan pelbagai kejerihan. Mungkinkah perkara ini memang disengajakan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi mengekalkan the true essence and narrated nature of hajj and umrah pada pandangan mereka? Umum tahu Kerajaan Arab Saudi terkenal dengan pegangan yang ultra pure terhadap Al-Quran dan Hadith secara word by word itu tanpa memberikan ruang kepada kaedah pemanjangan hukum yang disepakati ulama muktabar.

NASIHAT: “Cik, bangunlah malam hari dan banyak bercakap-cakap dengan Allah” kata mak.

Cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah walaupun mahal ‘bayaran’nya untuk bermusafir di jalan Allah, hebat juga ‘barang’ yang diniagakan di sini iaitu dalam bentuk rukhsoh dan kelebihan bagi para musafir. Selain mendapat keringanan dalam mengerjakan solat dan berpuasa (tak lama lagi Ramadhan akan datang lagi!), mereka yang bermusafir ini diberikan pula kelebihan doa yang mustajab sepanjang perjalanan.

Bagi saya, menjadi satu fitrah bermusafir itu sesuatu yang sukar sama ada disebabkan kelaziman adat / kehidupan ini ataupun memang telah ditentukan Allah.  Apa-apa pun, ‘bekalan’ yang sangat berharga telah disediakan sebsagai senjata yang hebat untuk kita. Banyak hadith yang menunjukkan keampuhan doa’ semasa bermusafir ini. Tapi sebagai manusia biasa, saya masih lagi dalam proses memujuk hati dan akal agar sentiasa mencari peluang-peluang bermusafir yang diharuskan Islam, supaya dapat merebut tawaran beribadah yang sangat berbaloi ini.

Pada kawan-kawan yang ingin bermusafir, selamat bermusafir dan cubalah ikuti adab-adab bermusafir, seperti mempunyai teman atau ketua dan membuat perancangan perjalanan. Banyak terbitan yang ringkas mahupun mendalam mengenai cara bermusafir mengikut Islam. Maaflah saya bukan ustaz untuk menerangkan dari segi hukum dan adab bermusafir, jadi kenalah sama-sama kita mencari yang pakar dan merujuk kepada yang sohih lagi rojih. Ingatlah, dalam bermusafir itu, jauh atau dekat kita dengan Allah pasti akan diuji!

KENANGAN:Panjang Umur Kita Jumpa Lagi, Makkah dan Madinah!

Tulisan di EPI ini adalah untuk mengingatkan diri saya sahaja dan mudah-mudahan menjadi juga modal untuk akhirat kelak, amin!

p/s – mak dan ayah, mudah2an selamat dan cepat balik ke rumah!

One response to “Bermusafir: Peluang Terbaik Beribadah

  1. Nice blog here! Also your site loads up fast! What host are younusing? Can I get your affiliate link to your host? I wish mynweb site load Click http://tu2s.in/searchll100830

Leave a comment